Monday, October 1, 2012

KENANGAN BERSAMA ARWAH ATUK

Dulu kalau musim buah2an, atuk dan nenekku takkan lupakan kami di Johor. Atuk aku sanggup bersusah payah naik bas dari Melaka semata2 mahu anak cucunya merasa makan bersama hasil tanamannya. Kalau orang sekarang jangan harap nak buat macam tu, mungkin satu dalam sejuta. Anak cucunya pun tak ada yang mempunyai hati yang sebegitu mulia dan penyayang. Dizaman serba canggih ni nilai2 kasih sayang tidak begitu berharga bagi sesetengah orang, manusia lebih menghormati dan menyayangi orang2 yang mempunyai kuasa wang dan kedudukan. Kadang2 mak selalu pesan dengan atuk agar tidak bersusah payah kerana atukku pada ketika itu sudah berusia  70an. Bermula dengan memetik buah2an kemudian dimasukkan ke guni dan memikul guni2 tersebut di tepi jalan untuk naik bas ke Pekan Masjid Tanah, dari masjid tanah naik bas untuk ke Bandar Melaka, dari Melaka naik bas express untuk ke Johor Bahru. Pernah sekali, atukku sampai di rumahku dalam mengharungi hujan yang lebat. Kami terkejut kerana dalam keadaan yang basah kuyup dan kilat sabung meyabung dia memberi salam dengan wajah yang tersenyum lebar kerana selamat sampai ke rumah kami. Dia segera menyuruh abangku pergi ke bus stop di bangunan Abu Kassim untuk ambil lagi seguni buah2an yang di tinggalkan disitu. Katanya cepat pergi ambil, takut nanti orang lain pula yang ambil. Bila guni sudah terkumpul dia segera menghimpunkan semua cucu2nya dan melambakkan isi guni tersebut. Segala macam buah diangkutnya dari pisang, keledek, ubi, rambutan, durian , nangka, cempedak sampailah ke pucuk ubi dan ulam seperti jering dan petai. Bayangkanlah seorang yang setua atuk aku boleh mengangkat guni yang seberat itu. Alangkah kita yang berkereta pun tak sanggup nak sumbatkan kereta dengan barang2 yang berat. Generasi sekarang jauh bezanya dengan generasi dulu. Atuk aku kalau tanam pokok akan niat yang hasil pokok tersebut agar dapat dirasai oleh anak cucu dan juga untuk rezeki sesiapa saja yang lalu di bawah pohon tersebut maka tak mustahillah Allah melipat gandakan hasilnya dgn rasanya yang sebegitu enak. Jiran tetangga juga tersenyum lebar bila nampak kelibat atuk aku kerana habuan untuk mereka pasti ada malahan mereka begitu menghormatinya.